P Pinang mahu pilihan raya serentak, kata Chow

P Pinang mahu pilihan raya serentak, kata Chow

Ketua Menteri Pulang Pinang bagaimanapun berkata, keputusan mengenai pilihan raya itu hanya diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ketua Menteri Pulang Pinang, Chow Kon Yeow berkata, terdapat desakan dari penduduk Pulau Pinang yang mahu pilihan raya diadakan serentak.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulang Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau memilih untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Chow berkata, mengadakan pilihan raya serentak boleh mengurangkan urusan logistik dan terdapat desakan daripada rakyat Pulau Pinang yang mahu pilihan raya diadakan serentak.

Katanya, DAP Pulau Pinang hanya menyuarakan “hujah terbaik” mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan parti ketika mesyuarat pada Selasa lalu.

“Kami berjaya menyakinkan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa isu ini ke mesyuarat pemimpin Pakatan Harapan yang berlangsung semalam dan turut dihadiri saya.

“Kita tunggu pengumuman rasmi (mengenai keputusan pilihan raya negeri) esok,” katanya kepada wartawan.

Ini kali pertama ketua menteri Pulau Pinang menyuarakan sokongannya untuk mengadakan pilihan raya serentak.

Chow sebelum ini ‘kunci mulut’ mengenai kemungkinan pembubaran DUN sejak dua hari lalu selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan DAP negeri dan pemimpin PH Pulau Pinang.

Awal hari ini, FMT melaporkan bahawa DAP dan PKR berbeza pendapat sama ada negeri yang dikuasai PH perlu mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya umum ke-15. (PRU15).

Pada masa ini, PH mentadbir Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Selangor tidak membubarkan DUN kerana Sultan Selangor tidak memihak kepada pilihan raya serentak, manakala Negeri Sembilan mengumumkan kemungkinan besar akan mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, walaupun sedang menunggu keputusan Majlis Presiden PH.

Sementara itu, PAS mengumumkan tiga negeri yang ditadbirnya iaitu Kedah, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan DUN mereka tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.