Gerak solo bagus untuk imej sederhana BN, kata PBRS

Gerak solo bagus untuk imej sederhana BN, kata PBRS

Presiden PBRS Joseph Kurup berkata keputusan itu juga mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum.

Presiden PBRS Joseph Kurup menyarankan keputusan bergerak solo BN dibuat secara konsisten, dengan merangkumi Sabah yang selaras memorandum diserahkan parti itu kepada BN lebih awal.
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berpendapat keputusan Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dapat mengekalkan imej parti itu yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan.

Presiden PBRS, Joseph Kurup, berkata keputusan itu juga mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum.

“Kami menyokong penuh kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi itu dan menyarankan keputusan untuk bergerak solo tersebut dibuat secara konsisten, merangkumi PRU15 di Sabah juga, selaras memorandum PBRS kepada BN lebih awal.

“Kami percaya kerjasama yang bakal dijalin antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah akan hanya memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perkara itu juga mengambil kira maklum balas pemimpin bahagian serta penyokong akar umbi PBRS yang tidak bersetuju dengan gabungan tersebut.

BN terdiri daripada empat parti komponen, iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Terdahulu, Umno dan BN memutuskan bergerak solo pada PRU15, selepas PAS membuat ketetapan untuk kekal dengan PN.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu memilih untuk merapatkan barisan dan memperkukuh hubungan dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Pada 2 Okt, Zahid mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS untuk kembali menjalin kerjasama politik, iaitu PAS meninggalkan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.