‘Saya tak tergugat’, Peja sedia lawan Anwar di Tambun

‘Saya tak tergugat’, Peja sedia lawan Anwar di Tambun

Ahmad Faizal Azumu berkata, menjadi tanggungjawab dan kewajipannya untuk kekal berkhidmat di halaman sendiri.

Ahmad Faizal Azumu (kiri) yakin jentera Bersatu lebih kuat dan tidak gentar berdepan Anwar Ibrahim yang mungkin memerlukan jentera dari luar untuk membantu berkempen pada PRU15.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan tidak tergugat dengan saingan daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

“Saya dan rakan-rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) Tambun merupakan anak jati Parlimen Tambun. Maka, kami beranggapan menjadi tanggungjawab dan kewajipan untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri.

“Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat bertanding di kerusi Parlimen Tambun,” katanya dalam kenyataan.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu yakin jentera Bersatu lebih kuat dan tidak gentar berdepan Anwar yang mungkin memerlukan jentera dari luar untuk membantu kempennya.

Tambahan, katanya, wakil rakyat PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta tidak menunjukkan prestasi baik.

“Saya tidak rasa tergugat, saya lihat jentera saya lebih bersemangat,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama antara parti komponen PN dan sokongan pengundi untuk mencapai kemenangan dalam PRU15.

“Peluang PN adalah baik. Gabungan PN mantap, dengan sokongan penyokong yang sanggup keluar mengundi, kami percaya akan dapat tubuhkan kerajaan di Perak.

“Kami juga akan mendapat kerusi-kerusi Parlimen dari Perak dan dengan izin Allah akan menubuhkan kerajaan persekutuan juga.”

Sementara itu, menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebooknya, Faizal meminta calon yang mahu berhijrah ke kerusi Parlimen Tambun perlu menyebut perkataan air dalam loghat yang betul.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, video itu dipercayai ditujukan kepada Anwar yang mengumumkan akan beralih angin dari Port Dickson ke Tambun semalam.

“Bagi mereka yang nak berhijrah dari tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat, dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit, di Tambun kita sebut ayor.

“Dengar betul-betul, bukan ayaq. Terima kasih, selamat datang,” katanya ringkas dalam video selama 24 saat itu hari ini.

Faizal memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.