PH tak perlu jawab bagi pihak Thomas, kata Loke

PH tak perlu jawab bagi pihak Thomas, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata, Tommy Thomas bukan pemimpin PH mahupun menjadi ahli mana-mana parti politik.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yakin bekas peguam negara Tommy Thomas mampu mempertahankan dirinya sendiri.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) menolak gesaan agar gabungan itu mengulas mengenai penemuan panel kerajaan berhubung memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Beberapa pemimpin Umno, termasuk perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob, mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin PH berhubung penemuan panel yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan mengenai badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pada sidang media hari ini, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, terpulang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sama ada Thomas benar-benar melanggar undang-undang.

“Kami tak perlu jawab untuk Tommy Thomas. Beliau bekas peguam negara, bukan pemimpin PH. Beliau bukan ahli mana-mana parti politik,” kata Loke yang yakin Thomas mampu mempertahankan dirinya sendiri.

“Kami tahu Ismail menggunakan isu ini sebagai ‘senjata’. Kami tahu mereka mahu politikkan perkara ini dan mengambil kesempatan (atasnya) menjelang PRU15. Kami takkan masuk perangkap itu.”

Memoir Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan pada Januari 2021. Susulan penerbitannya, beberapa laporan polis dibuat berhubung kandungan buku itu.

Kerajaan kemudiannya menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti pelbagai dakwaan dibuat Thomas dalam buku itu. Laporan pasukan petugas itu, yang dikeluarkan baru-baru ini, membawa kepada siasatan polis terhadap kesalahan hasutan dan lain-lain.

Thomas dilantik sebagai peguam negara oleh Dr Mahathir Mohamad ketika PH berkuasa pada 2018 tetapi meletak jawatan selepas gabungan itu tumbang pada Februari 2020.

Bercakap kepada The Star semalam, Mahathir berkata, Thomas dilantik kerana beliau dikenali dengan sikap “tidak berat sebelah”, dan patuh kepada “kedaulatan undang-undang”, namun itu sebelum bukunya diterbitkan.

Menerusi siasatannya, pasukan petugas itu mendapati Thomas, sebagai peguam negara, mahu Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika itu “mengikut arahannya dalam cara yang bercanggah dengan undang-undang” apabila melantik tiga peguam sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Laporan pasukan petugas itu turut menyatakan bahawa Thomas mempunyai “kepentingan diri” yang kuat dalam pelantikan hakim, dan beliau cuba menggunakan “pengaruh politik atau eksekutif” untuk memastikan pelantikan tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.