Thomas saman pasukan petugas, kerajaan berhubung laporan memoir

Thomas saman pasukan petugas, kerajaan berhubung laporan memoir

Bekas peguam negara itu memohon deklarasi bahawa pasukan petugas itu sebuah badan yang menyalahi undang-undang dan laporan yang dikeluarkannya dokumen tidak sah.

Tommy Thomas, bekas peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, menerbitkan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ pada Januari 2021.
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Tommy Thomas memfailkan saman terhadap pasukan petugas khas dan kerajaan atas dakwaan melanggar undang-undang dan hak Perlembagaannya kerana menerbitkan laporan berhubung memoirnya.

Thomas, yang menjadi peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, menamakan pengerusi pasukan petugas JC Fong, serta ahli-ahlinya Hashim Paijan, Junaidah Kamarruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Najib Surip sebagai defendan.

Beliau memohon deklarasi bahawa pasukan petugas itu sebuah badan yang menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi ditugaskan oleh kerajaan, yang juga dinamakan sebagai defendan.

Thomas juga memohon deklarasi bahawa laporan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness'” yang dikeluarkan pasukan petugas itu ialah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Dalam saman pemula yang difailkan Tetuan Tommy Thomas hari ini, beliau berkata, penerbitan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan kerajaan itu melanggar haknya terhadap reputasi yang menurutnya, dilindungi Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Thomas menuntut pampasan daripada semua defendan, jika mahkamah mendapati hak Perlembagaannya sudah dilanggar.

Beliau juga mahu ganti rugi teruk dan teladan dibayar setiap anggota pasukan petugas khas itu secara peribadi kepadanya.

Thomas turut memfailkan afidavit untuk menyokong saman itu.

Mervyn Lai yang menganggotai pasukan peguam Thomas berkata, dokumen mahkamah sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara petang ini.

Buku Thomas itu diterbitkan pada Januari 2021.

Kandungan kontroversinya mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Peguam Negara semasa, Idrus Harun, peguam, ahli politik dan orang ramai, yang menyebabkan pelbagai laporan polis dibuat terhadapnya.

Pada 8 Okt 2021, Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan yang dibuat Thomas dalam memoirnya.

Pada 22 Dis lalu, Kabinet meluluskan terma rujukan pasukan petugas khas itu yang membabitkan siasatan ke atas dakwaan berhubung badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, penyalahgunaan kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Pasukan petugas itu bersidang antara 23 Dis 2021 hingga 25 Ogos lalu. Majlis Peguam menolak pelawaan untuk mengambil bahagian dalam siasatan itu.

Menurut laporan itu, Thomas menerusi surat bertarikh 5 Jan lalu menyatakan beliau tidak akan bekerjasama atau mengambil bahagian dalam siasatan pasukan petugas khas itu.

Laporan pasukan petugas itu dibentangkan kepada Kabinet bulan lalu.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan menyatakan Thomas akan disiasat kerana menghasut dan pelbagai kesalahan lain seperti disyorkan dalam laporan itu.

Laporan itu didedahkan kepada umum pada Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.