
Mereka hairan mengapa tangga menuju ke kincir angin terletak di puncak bukit ‘Long Beach’ itu mahu diroboh pihak berkuasa dengan alasan tidak mahu orang ramai terus ‘menceroboh’ lokasi berkenaan yang dikategorikan kawasan larangan.
Meskipun berstatus larangan, pengunjung tetap mengambil risiko melalui tangga sudah uzur itu dan memasuki kawasan berkenaan untuk menikmati pemandangan indah pulau dari puncak.
Seorang pengurus acara Muhammad Afiq Sallehuddin yang berkunjung ke pulau itu bersama keluarganya baru-baru ini kecewa kerana hasratnya melawat ke tarikan ikonik itu tidak kesampaian.
“Kincir angin ini antara yang saya hendak melawat tetapi bila sampai diberitahu pula ia kawasan larangan dan struktur tangga akan diroboh.

“Kenapa tak manfaatkan apa yang sudah sedia ada? Tangga sudah ada, manfaatkanlah sepenuhnya untuk sektor pelancongan,” katanya kepada FMT.
Seorang usahawan dikenali Muhammad Muizuddin pula berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kawasan yang pernah tular sehingga menarik ramai pengunjung.
“Daripada roboh kenapa tak selenggara untuk tambah ”wow factor’ supaya boleh tarik lagi ramai pengunjung,” katanya yang bercuti ke pulau itu bersama keluarga dari Klang.
Sementara itu, pengusaha pelancongan yang hanya mahu dikenali Saiful berkata, ramai pelancong berurusan dengannya kecewa apabila diberitahu kincir angin itu adalah kawasan larangan.
“Tetapi masih ada ambil risiko dan curi-curi naik ke tempat itu. Secara peribadi, saya sendiri rasa tempat tular itu boleh tarik ramai pelancong,” katanya yang berharap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu.
Dua kincir angin itu dibina dengan kos RM12.6 juta, pembinaan dibiayai kerajaan negeri dan pusat menggunakan dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Projek itu bertujuan menghasilkan tenaga elektrik dari kuasa angin namun tidak berjalan seperti diharapkan.
Pada Mac 2021, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, berkata peruntukan RM500,000 dilulus untuk meroboh struktur tangga ke puncak berkenaan kerana keadaannya yang uzur dan mengelakkan diceroboh orang ramai.