Jeyakumar jelaskan sebab tak tanding di Sungai Siput semula

Jeyakumar jelaskan sebab tak tanding di Sungai Siput semula

Pengerusi PSM itu berkata, beliau tidak bertanding di kerusi itu kerana PSM tidak mahu memberi gambaran ia membalas dendam terhadap PH yang tidak menjalin pakatan pilihan raya dengannya.

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, partinya tidak mahu menghalang pertarungan antara PH dan BN.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj memutuskan tidak bertanding di Parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana partinya tidak mendapat banyak undi di kawasan dengan sokongan kuat untuk Pakatan Harapan.

“Itu realitinya dan kami nampak ia berlaku sebelum ini,” katanya selepas parti itu mengumumkan calonnya untuk PRU15.

Jeyakumar berkata, beliau tidak bertanding di kerusi itu kerana PSM tidak mahu memberi gambaran ia membalas dendam terhadap PH yang tidak menjalin pakatan pilihan raya dengannya.

Jeyakumar memenagi kerusi itu pada 2008 dan berjaya mempertahankannya pada PRU13. Dalam dua PRU itu, beliau bertanding di bawah tiket PKR.

Pada PRU14, Jeyakumar tewas dalam pertarungan empat penjuru. Beliau sekadar mendapat 1,505 undi, manakala calon PKR, Kesavan Subramaniam menang dengan 20,817 undi.

Jeyakumar berkata, PSM tidak mahu menghalang pertarungan antara PH dan BN di Sungai Siput kerana ini boleh mengurangkan peluang PH untuk menang.

“Jika PSM bertanding, kemungkinan besar PH kalah dan mereka akan menyalahkan kami.”

Katanya, ahli dan penyokong PSM di Sungai Siput akan mengundi PH kerana mereka tidak mahu BN menang.

“Jika kedua-duanya (PSM dan PH) kalah, ahli dan penyokong kami tidak akan gembira.”

Semalam, PKR mempertahankan keputusan PH tidak membentuk pakatan pilihan raya dengan PSM di Sungai Siput kerana kerusi itu dimenangi atas tiket PKR dahulu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, ia bukan soal memberi peluang kepada PSM, tetapi parti mana mempunyai peluang terbaik, termasuk dari segi jentera pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.