
Katanya, beliau tidak bertanding di Sungai Buloh untuk kalah, walaupun BN tewas tiga kali berturut-turut di kerusi itu sejak 2008.
“Saya datang ke sini, saya tidak mahu menghampakan harapan tuan-tuan dan puan-puan. InsyaAllah ‘we will do the impossible’.
“Kali ni kita mesti menang. Kali ni saya datang dengan harapan walaupun sebagai ‘underdog’,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN Sungai Buloh malam tadi.
Kerusi itu disandang bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar, Sivarasa Rasiah sejak 2008.
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi, mengalahkan calon BN dan PAS.
Khairy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Umno Selangor Noh Omar, Ketua Umno Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan Presiden MIC, S Vigneswaran yang telah membuka laluan untuk beliau bertanding di Sungai Buloh.
“Bukan senang saya nak bertanding.
“Kena jumpa Noh Omar, Vicky (Vigneswaran) dan Zahid (presiden Umno),” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin BN supaya berani untuk menggempur kubu- pembangkang di kawasan bandar.
Katanya, Umno dan BN perlu berani untuk menawarkan khidmat kepada penduduk di kawasan bandar.
“Takkan kita nak menyerah diri di semua kerusi bandar. Saya datang sebab saya nak menang di kerusi bandar,” tegas beliau lagi.
Khairy sebelum ini merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak tahun 2008.