
Pengerusi Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Edmund Terence Gomez menyoal bagaimana golongan ahli perniagaan yang menjadi ahli politik ini bakal mengundi di Parlimen dalam isu yang tidak memenuhi kepentingan perniagaan mereka.
“Bagaimana mereka akan mengundi dalam dasar berkaitan alam sekitar sekiranya mempunyai kepentingan aktif dalam pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan empangan dan ladang?
“Bagaimana pula isu seperti gaji minimum? Mungkinkah mereka menyokong sekiranya melibatkan isu utama untuk syarikat mereka?” soalnya ketika pelancaran laporan Business in Politics badan itu.
Kajian C4 setakat ini mengenal pasti 13 daripada 22 bekas Ahli Parlimen yang terkait isu korporat kontroversi, mempunyai akaun luar pesisir, atau kepentingan perniagaan asing.
FMT tidak mendedahkan nama individu yang disebut dalam laporan berkenaan sehingga mendapat komen mereka.