Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu diramal sengit

Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu diramal sengit

Penganalisis politik percaya Parlimen Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu akan menyaksikan persaingan sengit.

Penganalisis percaya tidak mustahil Barisan Nasional mencatat kemenangan di Melaka sekiranya Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional gagal meyakinkan pengundi luar pulang mengundi.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik percaya empat kerusi Parlimen di Melaka akan menyaksikan persaingan sengit, iaitu Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham berpandangan demikian berdasarkan keputusan pilihan raya negeri lepas dan perebutan undi Melayu antara Umno dan Bersatu.

“Kemenangan Umno akan dibentuk di kawasan nusa teras Umno ini,” katanya kepada FMT.

Welsh berkata, kekuatan jentera parti dan pergaduhan dalaman akan mempunyai kesan besar ke atas Umno berbanding sokongan penyokong tegar, manakala kempen fizikal dan peratusan keluar mengundi yang tinggi kan memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Umno lebih cekap membawa penyokong tegar keluar mengundi tetapi hanya sedikit sokongan Melayu terayun kepadanya – 3%.”

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata pengundi luar akan menjadi penentu buat Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional menghasilkan keputusan yang lebih baik kali ini.

Beliau percaya tidak mustahil Barisan Nasional mencatat kemenangan di Melaka sekiranya PH dan PN gagal meyakinkan pengundi luar pulang mengundi.

“Perkara sama tidak dikhuatiri oleh BN kerana rata-rata penyokongnya pemastautin di kawasan mengundi mereka berbanding pengundi-pengundi PH dan PN yang merupakan pengundi luar,” katanya.

Pada PRU14, majoriti pengundi di Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, dan Tangga Batu memilih calon-calon yang bertanding atas tiket PKR, termasuk Redzuan Yusof, daripada Bersatu. BN berjaya mempertahankan Masjid Tanah, namun penyandang, Mas Ermieyati Samsudin, kemudian menyertai Bersatu.

Pada PRN Melaka tahun lepas, BN menawan banyak DUN bawah empat Parlimen terbabit, namun kebanyakannya dengan kelebihan undi yang kecil.

Dua DUN bawah Hang Tuah Jaya dimenangi BN iaitu Pengkalan Batu (majoriti 131) dan Ayer Molek (2,802). Pakatan Harapan menang di Ayer Keroh (5,624) dan Bukit Katil (1,057), yang ditandingi bekas ketua menterinya.

BN membolot semua DUN di Alor Gajah, iaitu Rembia (860), Gadek (559), Machap Jaya (938), Durian Tunggal (559), dan Asahan (2,993). Gabungan itu turut menawan semua DUN di Masjid Tanah, iaitu Kuala Linggi (1,836), Tanjung Bidara (364), Ayer Limau (1,085), Lendu (3,104), Taboh Naning (1,825).

Di Tangga Batu, BN menang tiga daripada empat DUN, iaitu Pantai Kundor (827), Paya Rumput (629), dan Kelebang (876). Perikatan Nasional menang di Sungai Udang (530).

Pada PRU15, Hang Tuah Jaya akan menyaksikan calon BN, Mohd Ridhwan Mohd Ali – anak kepada bekas ketua menteri Melaka, Mohd Ali Rustam – berdepan Ketua Pemuda PKR, Adam Adli, dan Mohd Azrudin Md Idris dari PN.

Rusnah Aluai di Tangga Batu dicabar calon BN, Lim Ban Hong, dan calon Perikatan Nasional, Bakri Jamaluddin.

Di Alor Gajah, Redzuan dicabar bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari, dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan; manakala di Masjid Tanah, Ermieyati dicabar calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid dan calon Muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.