Tian Chua sedia tanding di Batu

Tian Chua sedia tanding di Batu

Sumber memberitahu, Tian Chua menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya menang di kerusi itu.

Tian Chua berkata semuanya akan diketahui pada esok pagi (penamaan calon).
PETALING JAYA:
Penyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, Tian Chua memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam usahanya mempertahankan kerusi berkenaan, kata sumber yang rapat dengan bekas naib presiden PKR itu.

“Mereka meminta beliau kembali dan penyokongnya juga sudah sedia membantunya dalam kempen. Tian Chua adalah nama besar di Parlimen Batu.

“Jika pencalonannya tidak dibatalkan, beliau boleh memenangi kerusi itu,” kata sumber kepada FMT.

Satu lagi sumber yang rapat dengan kumpulan penyokong Tian Chua berkata, beliau akan menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika menang di kerusi itu.

Tian Chua menjadi ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2018 tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum lalu kerana pencalonannya dibatalkan pada hari penamaan calon.

Ketika dihubungi FMT, Tian Chua tidak menafikan atau mengesahkan perkara itu dan hanya berkata, semuanya akan diketahui pada esok pagi (penamaan calon).

Sumber dari kumpulan penyokong Tian Chua berkata, pemimpin itu merasakan PKR haru memberi peluang kepadanya untuk bertanding kerana beliau tidak kalah tetapi pencalonannya dibatalkan pada 2018.

“Pada waktu itu, Tian Chua menyokong dan berkempen untuk calon bebas, P Prabakaran hingga menang sebelum beliau menyertai PKR,” katanya.

PKR sebelum ini menamakan Prabakaran untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Sekiranya Tian Chua bertanding, Parlimen Batu menyaksikan pertembungan beberapa penjuru dengan nama besar seperti Naib Presiden MIC, A Kohilan Pillay dan Siti Kasim dari Gerak Independent.

Calon dari parti seperti Perikatan Nasional, Warisan, Pejuang, Parti Rakyat Malaysia dan bebas turut bertanding di kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.