
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, pencalonan bekas menteri kesihatan dan bekas menteri kewangan itu menunjukkan kepada pengundi kesungguhan BN menawan kerusi-kerusi Parlimen di Selangor, dan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Beliau juga menggambarkan Khairy dan Tengku Zafrul itu sebagai “tawaran baharu” BN kepada pengundi Selangor.
“Sepertimana kehadiran Anwar Ibrahim di Tambun memberi semangat untuk PH dalam misi mereka menawan Perak. Ini bukan strategi untuk PRU sahaja tetapi petanda bahawa BN mahu menawan Selangor,” katanya kepada FMT.
Meskipun kehadiran Khairy dan Tengku Zafrul boleh menguatkan BN di Selangor, Azizuddin Sani di Universiti Utara Malaysia mengingatkan bahawa mereka bertanding di “kawasan PH”.
“Bergantung kepada penerimaan pengundi tempatan pada mereka,” katanya.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi di Universiti Malaya (UM) percaya BN mempertaruhkan Khairy dan Tengku Zafrul untuk menyelamatkan Umno di Selangor, yang dilihat lemah sejak 2008.
Beliau menolak andaian bahawa pucuk pimpinan BN mahu membunuh kerjaya politik Khairy, sebaliknya ia usaha untuk menembusi “kubu kuat” PH menggunakan calon-calon popular.
Katanya, PH juga pernah melakukan strategi sama di Selangor, Negeri Sembilan, dan Johor, serta di Perak kini.
“Kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak dapatkan sagunya,” katanya kepada FMT.
Pada PRU14, calon-calon yang bertanding atas tiket PKR dominan di Sungai Buloh (majoriti 26,634 undi) dan Kuala Selangor (8,498 undi).
PKR turut membolot DUN Paya Jaras (12,072) dan Kota Damansara (15,703) bawah Sungai Buloh, serta Bukit Melawati (2,695) dan Ijok (2,114) bawah Kuala Selangor.