7 mengaku salah lakukan khianat terbalikkan kereta

7 mengaku salah lakukan khianat terbalikkan kereta

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM7,000 bersama seorang penjamin setiap seorang serta tidak mengganggu mangsa, saksi kes dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tujuh lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta di persimpangan sebuah stesen minyak di Kota Masai, Pasir Gudang, Khamis lalu.

Muhammad Adam Abd Rahim,18; Mohammad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrison Malvin Anak Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; dan Romir Rahim, 41; mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak.

Mengikut pertuduhan, tujuh tertuduh itu secara bersama didakwa melakukan perbuatan khianat itu dengan merosakkan semua cermin dan pintu kereta dengan cara menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu serta menterbalikkan kereta jenis perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21, sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menetapkan 18 Dis ini untuk sebutan semula fakta kes dan jatuh hukum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan stesen minyak Petronas Kota Masai 2, Jalan Nenas Kota Masai, di sini pada 9.40 malam 3 Nov lalu.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofai menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana empat daripadanya bekerja sebagai penghantar makanan serta baki tiga orang sebagai pembaiki mesin basuh, peniaga topi dan pelajar.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM7,000 bersama seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, saksi kes serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa video memaparkan sekumpulan lelaki merosakkan sebuah kereta dipercayai Perodua Myvi berhampiran sebuah stesen minyak.

Kekecohan itu berlaku dipercayai selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.