
Tian Chua, yang menyerahkan kertas pencalonannya pada Sabtu, berkata beliau masih belum mendengar secara rasmi daripada PKR mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu, saya belum terima apa-apa tetapi saya serahkan kepada parti untuk memutuskannya,” katanya ketika ditanya mengenai status keahliannya.
Pada Ahad, Tian Chua memohon maaf kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim kerana bertanding menentang calon parti itu, P Prabakaran, di Batu.
Anwar, yang menganggap tindakan itu sebagai “mengecewakan”, sebelum ini berkata menjadi dasar PKR untuk memecat ahli sedemikian secara automatik, apabila ditanya tindakan akan diambil terhadap Tian Chua.
Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2018 tetapi gagal mempertahankan kerusinya pada PRU14 selepas beliau hilang kelayakan pada hari penamaan calon.
Kerusi Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru, dengan nama besar seperti Naib Presiden MIC A Kohilan Pillay (Barisan Nasional) dan Siti Kasim daripada Gerak Independent.
Calon lain termasuk Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional, P Naganathan (Warisan) dan Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).