
Katanya, dalam manifesto itu tidak menyenaraikan masalah yang berlaku dalam sistem pendidikan negara.
“Saya lihat satu persatu pelan polisi itu. Sekali lagi, mereka tidak memberi tekanan kepada asas dan struktur masalah pendidikan negara. Solusinya hanya letak banyak duit.
“Bagaimana nak selesaikan masalah pengangguran? Fokus universiti lagi, keluar selepas enam tahun, kena bersaing dengan siswazah lain termasuk dari luar negara.
“Dua daripada tiga anak muda tak mahu masuk universiti. Nak buat apa dengan mereka? Perubahan struktur dari dasar itu tak ada,” katanya dalam program minum petang bersama anak muda di Gombak.
Semalam, BN dalam manifestonya berikrar memberikan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar B40 serta akan menghapuskan buku teks dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian daripada pendigitalan sistem persekolahan.
Sebaliknya, pembelajaran akan dijalankan menggunakan komputer riba.
Mengulas lanjut, calon Muda di Muar itu turut mengingatkan janji kerajaan terdahulu mengenai bantuan tablet percuma ketika Covid-19 untuk pelajar B40 yang dilengah-lengahkan.
“Contoh paling mudah, bila negara dilanda pandemik, kajian Kementerian Pendidikan sendiri mendapati di Semenanjung sahaja, satu daripada tiga pelajar tidak mempunyai gajet untuk pembelajaran dalam talian. Itu belum kira Sabah dan Sarawak.
“Pendidikan secara dalam talian mereka terputus terus dua tahun. Sudah habis pandemik, baru sampai gajet. Malaysia sangat lambat. Itu belum lagi sebut masalah internet,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata mana-mana idea baik yang dibentang perlu diraikan, namun pelaksanaannya perlu dipertimbang sepenuhnya.
“Sebab itu saya tekankan pelaksanaan. Pilih kerajaan yang lebih telus dan amanah, rakyat perlu buat pilihan,” katanya.