80% keluar mengundi, Umno akan hanyut dalam sungai Muar, kata Muhyiddin

80% keluar mengundi, Umno akan hanyut dalam sungai Muar, kata Muhyiddin

Pengerusi PN berkata, BN menang pilihan raya negeri Johor disebabkan peratusan mengundi yang rendah.

Muhyiddin Yassin berkata, BN akan kalah teruk sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi.
PAGOH:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin yakin sekiranya 80% pengundi keluar mengundi pada 19 Nov ini, Umno pasti akan hanyut di dalam Sungai Muar.

Beliau berkata sebab utama Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sebab peratusan keluar undi yang rendah dan ramai penyokong Umno turun mengundi.

“Saya minta semua di kampung-kampung ini atau di kampung-kampung lain, pengundi yang sudah ada dalam daftar pemilih, hendaklah keluar mengundi beramai-ramai.

“Macam PRN Johor dulu tak ramai keluar (mengundi kerana) orang Umno totok ada di situ jadi (BN) menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok bersama masyarakat Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Sungai Terap, Pagoh.

Pada PRN Johor Mac lalu, BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pilihan raya kali ini amat penting bukan kerana soal beliau, Dr Mahathir Mohamad, Ismail Sabri Yaakob atau Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata ini kerana soal rakyat.

“Ini satu tanggungjawab penting. Tanggungjawab (kita turun) mengundi pada 19 Nov ini.

“Gelombang PN dilihat semakin tinggi misalnya di Perlis dan Kedah baru-baru ini saya pergi ke sana dapat merasainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.