Ahmad Maslan perjelas sebab BN yakin menang PRU15

Ahmad Maslan perjelas sebab BN yakin menang PRU15

BN yakin menang 112 kerusi di Semenanjung dan Sabah, manakala kerusi dimenangi GPS, sekutunya di Sarawak, akan membolehkannya mendapatkan majoriti, kata setiausaha agung Umno itu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, pemimpin GPS menghargai keputusan BN untuk tidak bertanding di Sarawak pada PRU15.
PONTIAN:
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyuarakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang 112 daripada 178 kerusi Parlimen ditandingi di Semenanjung dan Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“(Malah) kami yakin GPS akan bersama kami kerana BN tidak bertanding di Sarawak, tidak seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ahmad memberitahu FMT, inilah sebabnya BN optimistik tentang peluangnya untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding menentang calon GPS di Sarawak pada PRU15.

Ahmad berkata, pemimpin GPS menghargai keputusan BN untuk tidak bertanding di Sarawak.

“Kami dengar daripada GPS, mereka yakin dapat 25 kerusi. Jadi 112 (kerusi dimenangi BN) campur 25, akan dapat bentuk kerajaan yang stabil.

“Kami akan menang majoriti bersama GPS. Itulah perancangannya,” katanya, yang akan bertanding untuk BN di Parlimen Pontian.

Beliau berkata, unjuran itu tidak termasuk kerusi yang akan dimenangi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan BN.

Mengulas dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bahawa Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempunyai pakatan sulit dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad berkata, semua itu dalam “imaginasi Mahathir”.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 Nov, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.