Selesai masalah LRT jadi keutamaan jika PH kembali memerintah, kata Loke

Selesai masalah LRT jadi keutamaan jika PH kembali memerintah, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata, 300,000 penumpang harian sistem LRT perlu 'sistem pengangkutan awam yang selamat dan boleh dipercayai'.

Loke Siew Fook berkata, sistem LRT Kuala Lumpur sering menghadapi kerosakan dan program jangka panjang diperlukan untuk menyelesaikannya.
PETALING JAYA:
Keutamaan Pakatan Harapan (PH) jika ia kembali berkuasa selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah untuk menaik taraf keseluruhan sistem LRT, janji bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook.

Setiausaha agung DAP itu berkata, 300,000 penumpang harian sistem LRT memerlukan “sistem pengangkutan awam yang selamat dan boleh dipercayai”.

Ratusan ribu penumpang Lembah Klang kecewa apabila Rapid KL mengumumkan penggantungan perkhidmatan di 16 stesen dalam laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini.

Pengendali kereta api Prasarana telah menyatakan bahawa juruteranya tidak dapat mengenal pasti masalah yang menjejaskan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) perkhidmatan tersebut. Perkhidmatan di laluan Kelana Jaya telah terganggu sejak Sabtu.

Loke berkata: “Sistem LRT Kuala Lumpur sering menghadapi kerosakan (dan) kita memerlukan program jangka panjang untuk menyelesaikannya.

“Jika PH dapat mengambil alih kerajaan persekutuan semula pada 19 Nov, sistem pengangkutan awam KL akan menjadi keutamaan kami dan kami akan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

“(LRT) bergantung kepada sistem automatik, dan sistem ini menghadapi masalah sekarang. Jadi ia perlu diutamakan dan kerajaan perlu menggunakan lebih banyak sumber untuk membaiki sistem ini atau menggunakan (sistem) yang baharu.”

Pada sidang media di ibu pejabat Rapid Rail di Subang awal hari ini, Presiden Prasarana dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Azharuddin Mat Sah berkata, pengeluar peralatan asal sistem rel itu, Thales Group, akan menghantar pasukan dari Kanada untuk menyelesaikan isu ATC.

Beliau berkata, gangguan itu berpunca daripada ketidakstabilan sistem ATC, yang menyebabkan tren terpaksa dikendalikan secara manual, sekali gus menjejaskan keseluruhan jadual perkhidmatan kereta api di laluan Kelana Jaya.

Dalam kenyataan, Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung menyebut banyak kegagalan teknikal LRT selama ini dan menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Amir Hamdan berundur disebabkan kegagalan terbaru ini.

Walaupun mengambil maklum penjelasan Prasarana tentang ketidakupayaannya untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi sistem ATC, Lee bertanya mengapa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan gagal mencegah kerosakan yang begitu serius.

Lee juga berkata, pihak ketiga harus menjalankan audit teknikal untuk mengetahui punca siri gangguan itu, sambil menambah Rapid Rail dan MyRapid harus dikenakan “denda yang berat” jika gangguan itu didapati dapat dielakkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.