Cuti 18 Nov, Pahang tunggu pandangan penasihat undang-undang

Cuti 18 Nov, Pahang tunggu pandangan penasihat undang-undang

Menteri Besar sementaranya, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, DUN Pahang dibubarkan 14 Okt lepas bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15.

Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi luar pulang ke kampung mengundi.
JERANTUT:
Kerajaan Pahang menunggu pandangan penasihat undang-undang negeri sebelum mengisytiharkan cuti umum pada 18 Nov, sehari sebelum hari pengundian, kata Menteri Besar sementaranya, Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, perkara itu memerlukan perincian teliti memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dibubarkan 14 Okt lepas bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri…sama ada saya boleh atau tidak mengisytiharkan cuti. Saya masih menunggu jawapan mereka, kalau boleh isytihar, saya akan beritahu dalam masa terdekat,” katanya selepas pelancaran projek Rumah Pahang untuk generasi baharu Felda di Felda Sungai Retang.

Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi luar pulang ke kampung menunaikan kewajipan mereka pada PRU15.

Mengenai projek hari ini, Wan Rosdy berkata, rumah berkenaan dibangunkan di tapak projek rumah generasi baharu terbengkalai, melibatkan 1,850 unit rumah di daerah Jerantut, Maran, Kuantan dan Rompin yang dijenamakan sebagai Rumah Pahang.

Ia melibatkan rumah teres seluas 800 kaki persegi yang dibina di kawasan seluas 1,400 kaki persegi dan dijual pada harga RM120,000, dengan keutamaan untuk generasi kedua Felda.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di Pahang mempunyai kediaman sendiri.”

Selain Rumah Pahang, katanya, inisiatif lain bagi membantu rakyat memiliki rumah oleh kerajaan negeri ialah Rumah Rakyat Pahang yang diberikan percuma kepada individu layak, selain Rumah PR1MA dan Rumah Makmur yang dijual lebih murah daripada harga pasaran.

Selain itu, kerajaan negeri juga melaksanakan Skim Tanah Warisan yang menawarkan lot tanah dengan bayaran premium RM10,000 bagi tujuan membina kediaman sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.