Kazim tarik diri bukan sebab saya, tetapi mahu terus berdakwah, jelas abang

Kazim tarik diri bukan sebab saya, tetapi mahu terus berdakwah, jelas abang

Najmuddin Elias berpendapat adiknya perlu membina kekuatan politik terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang yang "penuh sepak terajang".

Kazim Elias (kiri) menarik diri sebagai calon Parlimen Larut bagi memberi laluan kepada abang, Najmuddin yang mewakili PN di DUN Batu Kurau, bawah Parlimen itu.
LARUT:
Abang kepada ustaz Kazim Elias mendedahkan beliau bukan punca utama adiknya itu menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Najmuddin Elias calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Batu Kurau berkata keputusan itu lebih kepada kesedaran adiknya meneruskan kerja-kerja dakwah dan tidak mahu dilabel “biased” (berat sebelah) atau memberi kesan negatif sebagai seorang pendakwah.

“Sebenarnya ustaz Kazim dah tahu dari awal saya dicalonkan awal oleh Bersatu, sebelum dia ditawarkan oleh Umno/BN. Masa BN tawarkan ustaz Kazim bertanding ustaz Kazim dah tahu saya akan bertanding.

“Jadi tidak timbul saat-saat akhir dia tarik diri tu kerana abangnya bertanding sebab dia dah tahu awal,” katanya kepada FMT.

“Adik (ustaz Kazim) mengatakan dia menarik diri itu kerana kelangsungan dakwahnya, tidak mahu menjadi satu ‘biased’ (berat sebelah) atau kesan negatif kalau dia terus menceburi 100% bidang politik.”

Najmuddin mendedahkan sejam sebelum parti masing-masing mengumkan senarai calon pada jam 8.30 malam 1 Nov lalu, Kazim ada menelefonnya untuk mendapatkan pandangan beliau.

“Saat terakhir dia tanya pendapat saya masa tu lebih kurang sejam sebelum diumumkan oleh pihak parti masing-masing, saya tak boleh nak tarik diri sebab saya sudah tandatangan semua sekali… Aku Janji dan sebagainya dan sebab itu sukar untuk saya menarik diri saat akhir.

“Bagaimanapun, akhirnya beliau menarik diri pada esoknya walaupun telah diumumkan sebagai calon BN di Larut,” kata Najmudin yang menang di DUN Batu Kurau selama dua penggal menerusi tiket BN.

Keakraban silaturahim adik-beradik tidak pernah terputus walau berbeza fahaman politik

Najmuddin berkata walaupun berbeza parti politik, Kazim dan beliau mempunyai satu tekad yang sama iaitu menyatukan Islam dan Melayu demi pembangunan ummah.

“Keakraban adik-beradik itu takkan terputus walaupun kami berbeza fahaman politik. Yang penting dia cakap dekat saya, Islam itu kena bersatu, Melayu kena bersatu walaupun berbeza parti. Itu matlamat kami,” katanya.

Beliau juga berpendapat Kazim perlu membina kekuatan politiknya dahulu sebelum nekad terjun ke bidang politik sepenuh masa.

“Bagi saya, mungkin saya dah dua penggal jadi wakil rakyat dah tahu sedikit sebanyak selok belok sepak terajang politik tapi bagi beliau yang baru nak mulakan dengan politik, bagi saya bukan masa sekarang.

“Mungkin dia kena bina dulu kekuatan politiknya baru dia ada kekuatan untuk menerima mana-mana politik pada masa akan datang,” katanya.

Pada 2 Nov lalu, Kazim menarik diri bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU15 dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Larut, Shafiq Fhadly Mahmud, yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).

Kemudian, pada satu sidang media, beliau menjelaskan tujuannya menarik diri adalah demi kepentingan keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.