
Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, pihaknya menyimpulkan perkara sedemikian selepas menganalisis ikrar pilihan raya dibuat dua gabungan itu.
Menurut CME, analisis mereka menumpukan kepada kandungan ekonomi yang dimuatkan dalam manifesto bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan, terutama menyokong pertumbuhan ekonomi stabil dan memacu tahap daya saing di peringkat antarabangsa.
“Manifesto BN merangkumi kuasa federalisme dan peralihan jelas tindakan afirmatif berdasarkan kaum kepada keperluan. Manifesto itu juga mengemukakan perkara baik bagi pembinaan semula Malaysia sebagai pro-pelaburan.
“Jika dibangunkan secara betul, ia mungkin memberi kelebihan daya saing kepada negara dengan mewujudkan suasana baik untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI),” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, BN antara lain berikrar meneliti penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri bagi peningkatan kecekapan.
Bagi meningkatkan kemasukan FDI, CME mendapati BN juga berikrar untuk menggubal dasar pekerja asing menyeluruh termasuk menetapkan had ke atas pelaburan syarikat berkaitan kerajaan dan penglibatan dalam industri tertentu bertujuan memberi peluang kepada entiti swasta.
CME berkata, potongan cukai 2% bagi kumpulan M40 dialu-alukan sambil tindakan itu perlu disusuli strategi umum berhubung potongan perbelanjaan dan meningkatkan kutipan pendapatan.
Dalam pada itu, manifesto PH pula lebih meluas menumpukan kepada pembangunan sosial kepada keluarga, belia dan warga tua, selain memastikan kebebasan bersuara dan perlindungan persekitaran. Manifesto dikemukakan kurang mengandungi perincian berhubung pertumbuhan ekonomi, kata CME.
“Secara khususnya, ia kurang strategi komprehensif untuk membina semula ekosistem pro-pelaburan.”
Antara janji utama PH adalah membangunkan lebih banyak klinik kerajaan di kawasan berkepadatan tinggi dan kawasan miskin tinggi, termasuk skim insuran kesihatan percuma dan pampasan pengebumian berjumlah RM10,000 kepada enam juta pekerja gig.
Ia juga menjanjikan penyediaan biasiswa kepada B40 bagi mengurangkan kebergantungan pinjaman pendidikan, seperti PTPTN.
Kumpulan pemikir itu juga mendapati kedua-dua manifesto turut memasukkan strategi keselamatan makanan dengan BN lebih menjurus kepada dagangan bebas, yang dianggap CME sebagai perkara sangat penting.
Bagaimanapun, CME mendapati kedua-dua manifesto lemah dari segi pelaksanaan kerana tidak memberi penjelasan bagaimana kedua-dua gabungan itu mahu mencapai sasaran dikemukakan.
Kedua-dua manifesto juga tidak memasukkan kos diperlukan bagi mencapai sasaran dimuatkan, selain bagaimana sasaran itu boleh dilaksanakan dengan cara yang mampan dari segi kewangan, katanya.