
Gopal Sri Ram berkata, ketua hakim negara termasuk hakim mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) berperanan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di negara ini.
Katanya, hakim mahkamah atasan bertanggungjawab dalam semak dan imbang cabang perundangan dan eksekutif kerajaan.
Sambil menekankan ketua hakim negara sebagai mengetuai badan kehakiman, beliau berkata, apa sahaja tindakan membenarkan Parlimen melantik ketua hakim atau meletakkan jawatan itu di bawah Parlimen bertentangan doktrin pengasingan kuasa.
Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata demikian sebagai mengulas manifesto Gerakan Tanah Air (GTA) yang mana memasukkan janji meletakkan sembilan pegawai tertinggi kerajaan di bawah bidang kuasa Parlimen, jika ia menang pada pilihan raya.
Sembilan pegawai tertinggi itu merangkumi peguam negara, ketua polis negara, ketua hakim, ketua pesuruhjaya suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia, panglima angkatan tentera, ketua setiausaha kerajaan, ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua audit negara dan gabenor Bank Negara Malaysia.
Pengerusi GTA Dr Mahathir Mohamad, berkata ini perlu untuk membebaskan negara daripada rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam pada itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar, berkata sistem sedia ada melantik dan menaikkan pangkat hakim boleh dikekalkan dengan melakukan penambahbaikan.
“Perlindungan tambahan boleh dibuat dengan memasukkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dalam Perlembagaan dan menghapuskan kuasa perdana menteri mengarahkan nama tambahan dikemukakan.”
Katanya, calon dikemukakan JAC dalam pelantikan sepatutnya muktamad dan hanya tertakluk kepada pengesahan Majlis Raja-Raja.
Syed Iskandar berkata, pelantikan kehakiman sepatutnya bebas daripada campur tangan serta pindaan Perlembagaan diperlukan demi memastikan JAC sebuah badan berperlembagaan.
Ketika ini, sembilan ahli JAC dilihat sebagai badan membuat syor calon bagi pelantikan dan kenaikan pangkat dengan perdana menteri diberikan kuasa membuat keputusan akhir.
Ini kerana, Artikel 122 Perlembagaan Persekutuan memperuntukan pelantikan hakim dan jawatan pentadbiran adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.