Polis selamatkan tukang tilik diculik, tahan 20 individu

Polis selamatkan tukang tilik diculik, tahan 20 individu

Tukang tilik warga India itu diselamatkan ketika dikurung dalam sebuah rumah di Kulim, Kedah.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam operasi berhubung kes culik seorang lelaki warga asing di Bukit Mertajam, Selasa lalu. (Gambar Bernama)
GEORGETOWN:
Polis Pulau Pinang menyelamatkan seorang tukang tilik warga India yang diculik dan menahan 20 individu termasuk suami isteri dan anak lelaki mereka dalam siri serbuan di sekitar Kulim, Kedah dan Bukit Mertajam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia 24 tahun itu diselamatkan ketika dikurung di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai di Kulim pada 2 pagi hasil risikan dan intipan dijalankan pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dibantu JSJ Bukit Aman.

“Polis pada mulanya menerima laporan pada Selasa lepas daripada seorang lelaki memaklumkan anak lelaki kepada rakannya telah diculik dan ibu bapa mangsa yang tinggal di luar negara (India) menerima panggilan meminta tebusan sebanyak RM700,000 dan jika gagal membayar dia (mangsa) akan dibunuh.

“Ekoran itu, kami menjalankan operasi sebelum menyerbu beberapa lokasi dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta 11 lelaki warga asing bagi membantu siasatan. Semua mereka ditahan berumur 24 hingga 60 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada suami isteri, anak lelaki mereka dan adik perempuan kepada isteri suspek dan 11 warga India yang merupakan kenalan kepada keluarga terbabit. Semua warga India itu juga tidak memiliki dokumen perjalanan.

Shuhaily berkata, kejadian itu tidak melibatkan sindiket penculikan dan dipercayai melibatkan isu penipuan kerana mangsa mengenali suspek, dengan penahanan 20 individu berkenaan polis percaya berjaya menyelesaikan kes culik membabitkan tukang tilik itu.

“Mereka yang ditahan bekerja sebagai pekerja restoran, ahli perniagaan dan beberapa pekerjaan lain, si suami ialah pesara manakala isteri dan anaknya pekerja swasta,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan mereka polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, 17 telefon bimbit, tujuh buku bank, tujuh kad ATM, dua batang besi, sebatang cota, rantai besi dan wang tunai RM2,085.

Beliau berkata, semua yang ditahan direman hingga 13 Nov bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.