Ada gelombang baharu pengundi India, Cina kepada BN, kata Zahid

Ada gelombang baharu pengundi India, Cina kepada BN, kata Zahid

Pengerusi BN berkata gelombang itu seperti isyarat yang pengundi Cina dan India serik dan sengsara selepas memilih Pakatan Harapan pada PRU14.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi disambut meriah ketika hadir dalam satu majlis di Batu 12, Hutan Melintang, Perak semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gelombang baharu sokongan pengundi Cina dan India terhadap Barisan Nasional (BN) menunjukkan peningkatan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN berkata, ia seolah-olah isyarat yang memperlihatkan pengundi Cina dan India sudah serik dan sengsara selepas memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

“Penderitaan (rakyat) yang dialami pada PRU14 itu sesuatu yang harus dilupakan dengan mereka mahu menyokong semula BN bagi membentuk kerajaan.

“Jadi, ini merupakan satu perkembangan yang baik dengan sokongan pengundi setakat ini telah menghampiri kira-kira 45% ke atas BN,” katanya selepas merasmikan Fiesta Balik Bagan Datuk “Jom Balik Mengundi” di Jeti Waterfront Bagan Datuk, lapor Bernama.

Sementara itu, Zahid meminta semua calon agar berusaha menggandakan usaha bagi menarik seramai mungkin pengundi untuk menyokong BN.

“Saya meminta calon-calon menggandakan usaha dalam tempoh tidak sampai seminggu ini bagi kita menjawab ‘kerinduan’ pengundi-pengundi di seluruh negara,” katanya.

Beliau yang merupakan penyandang Parlimen Bagan Datuk sejak enam penggal berkata, jentera parti di setiap peringkat harus memberi fokus kepada beberapa kawasan kelabu dan hitam supaya dapat memperoleh majoriti yang kukuh.

Menurutnya, sokongan pengundi muda terhadap BN juga menunjukkan peratusan yang tinggi dan berharap trend itu dikekalkan dan diterjemahkan dalam bentuk undi pada 19 Nov ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 19 Nov ini dengan hari pengundian awal pada 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.