
Setiausaha Umno Perak Aminuddin Md Hanafiah, berkata prestasi Khairy sebagai menteri menunjukkan beliau mempunyai kelayakan menjadi perdana menteri.
“Melihat Khairy pada masa lalu, saya tahu satu hari nanti beliau akan berada di sana (kedudukan tertinggi), cuma sistem Umno memerlukannya mendaki tangga parti dulu,” kata Aminuddin kepada FMT.
Beliau berkata, kemenangan di Sungai Buloh yang merupakan kawasan bercampur akan memaparkan Khairy diterima segenap lapisan masyarakat.
“Melihat kepada maklum balas rakyat di Sungai Buloh (terhadap Khairy), saya tidak rasa R Sivarasa sekalipun (bekas penyandang Parlimen Sungai Buloh yang menang majoriti besar) mahu bertanding di kawasan itu,” katanya.
Katanya, rakyat Sungai Buloh sebagai pengundi bandar menilai prestasi, justeru menjadikan Khairy mempunyai kelebihan.
“Sekiranya rakyat di Sungai Buloh memberikan peluang untuk berjaya, menjadi wakil mereka dan dilantik sekali lagi menjadi menteri, mengapa tidak?” katanya.
Pada Rabu, dalam kempen di Sungai Buloh, Khairy menyatakan hasratnya untuk menerajui kepimpinan negara dan menjadi perdana menteri satu hari nanti.
Khairy berdepan saingan dari calon PH, R Ramanan; Ghazali Hamin (Perikatan Nasional); Akmal Yusoff (Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Long Alsagoff.
Aminuddin yang juga calon BN di Tambun pula bertanding menentang Presiden PKR Anwar Ibrahim mewakili PH, selain bersaing dengan bekas penyandang, Ahmad Faizal Azumu (Perikatan Nasional) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).