Gerik kawasan putih, tiada protes senyap, kata Saarani

Gerik kawasan putih, tiada protes senyap, kata Saarani

Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad berkata, ada sedikit kekecohan sebelum ini kerana calon Parlimen itu bukan orang tempatan, tetapi kekecohan itu berjaya ditangani.

Saarani Mohamad disambut penduduk ketika merasmikan Jambatan Baharu Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang hari ini. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Saarani Mohamad menjelaskan tiada sebarang masalah dalaman di kerusi Parlimen Gerik, sekali gus menafikan dakwaan itu kawasan “kelabu”.

Katanya, hasil lawatan dan pemerhatiannya di Kampung Jong, Gerik dua hari lepas, beliau dapat melihat respons masyarakat dan jentera BN di kawasan itu bertungkus lumus turun padang untuk memenangkan ketiga-tiga calon, iaitu Asyraf Wajdi Dusuki bagi Parlimen Gerik, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan Aznel Ibrahim bagi DUN Pengkalan Hulu.

“Dulu mungkinlah kerana katanya ada sedikit kekecohan kerana calon yang dibawa ke Parlimen itu bukan orang tempatan, tetapi kekecohan itu berjaya ditangani.

“Nampaknya, masalah dalaman tidak ada apa-apa dan tidak ada penolakan, tidak ada protes secara senyap dan saya percaya, kalau dulu orang kata kelabu kerana ada kekecohan itu, tapi sekarang saya percaya ia (Gerik) sudah putih,” katanya selepas merasmikan Jambatan Baharu Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang.

Beliau ditanya kenyataan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang berpendapat Parlimen Gerik kawasan “kelabu” pada pilihan raya umum ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.