Kerajaan, pasukan petugas mohon batal saman Tommy Thomas

Kerajaan, pasukan petugas mohon batal saman Tommy Thomas

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata alasan pernyataan tuntutan plaintif mendedahkan klausa tidak munasabah, remeh dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Buku Tommy Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mendapat kritikan pelbagai pihak menyebabkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kandungannya.
KUALA LUMPUR:
Pasukan petugas khas dan kerajaan akan memohon untuk membatalkan saman pemula dikemukakan bekas peguam negara Tommy Thomas, berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.

Thomas selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, ahli pasukan petugas itu ialah Hashim Paijan, Junaidah Kamaruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata permohonan itu, akan difailkan pada atau sebelum 15 Dis ini.

“Semua defendan akan memohon untuk membatalkan saman, atas alasan pernyataan tuntutan plaintif mendedahkan klausa yang tidak munasabah, remeh dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Lai Wei Shiung mewakili Thomas berkata pada pengurusan hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 12 Jan tahun depan.

Thomas, yang merupakan peguam negara antara Jun 2018 hingga Feb 2020, memohon perisytiharan bahawa, laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness’, merupakan dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Dalam saman pemula itu, beliau berkata penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Buku tulisan bekas peguam negara itu diterbitkan pada Januari 2021 dengan pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet pada 8 Okt 2021 menubuhkan pasukan petugas khas, untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Okt lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.