Cucu tetak mati nenek didakwa

Cucu tetak mati nenek didakwa

Muhammad Farhan Zulkefli juga dituduh mencederakan moyangnya berusia 80 tahun.

mahkamah sungai petani
Tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Farhan Zulkefli, 21, di Mahkamah Majistret Sungai Petani dengan mahkamah benar laporan psikiatri diperoleh daripada tertuduh.
PETALING JAYA:
Lelaki sedang menerima rawatan psikiatri didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Petani kerana membunuh nenek dan mencederakan moyangnya, dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Zulkefli, 21, tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Menurut Sinar Harian, dia didakwa membunuh Halimah Hashim, 65, antara 6.40 petang hingga 6.53 petang di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Baling, pada 16 Dis.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menetak Mariyam Ariffin, 80, menggunakan sebilah parang di lokasi, masa, dan tarikh sama dengan didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor memaklumkan tertuduh kini sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan memohon perintah mahkamah mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan bagi mendapatkan laporan psikiatri tertuduh di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 6 Jan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.