
Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, keputusan itu bertujuan mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.
Abang Johari dipetik Bernama sebagai berkata, GPS memilih Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menterinya.
Kenyataan ini menyusul beberapa jam selepas Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan menemui Abang Johari untuk membincangkan pembentukan kerajaan persekutuan kerana tiada gabungan memiliki majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-15.
Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi Parlimen, disusuli PN (73), BN (30), GPS (22), GRS (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua calon bebas.
Sementara itu, seorang pemimpin tertinggi Umno yang enggan dinamakan berkata, BN belum membuat keputusan.
FMT cuba menghubungi pemimpin BN untuk mendapatkan pengesahan.
Terdahulu, Istana Negara meminta pemimpin parti membentuk gabungan dengan parti lain yang mempunyai kerusi paling banyak untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, ketua parti atau gabungan yang memiliki kerusi mencukupi diminta mencadangkan calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok.