Ahli Parlimen BN tiba di Istana Negara

Ahli Parlimen BN tiba di Istana Negara

Ia berikutan Istana Negara semalam memerintahkan Ahli Parlimen BN menghadap hari ini, untuk proses menentukan perdana menteri ke-10.

KUALA LUMPUR:
Sesi menghadap Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bermula pagi ini.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Zambry Abd Kadir dan Timbalan Pengerusi Mohamad Hasan dilihat tiba dengan kenderaan masing-masing sekitar jam 10.40 pagi.

Kesemua 30 Ahli Parlimen BN dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, berikutan sesi menghadap Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim semalam.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun tiba di Istana Negara pada jam 11 pagi dan diikuti beberapa wakil Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata sesi menghadap pagi ini supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti.

Perkembangan ini selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin diperintah menghadap, selepas Istana Negara mendapati tiada ahli Dewan Rakyat mempunyai sokongan majoriti.

Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 Ahli Parlimen, berbanding Pn dengan 73 Ahli Parlimen.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mendedahkan BN tidak menyokong PH mahupun PN untuk membentuk kerajaan dan akan kekal sebagai pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.