Jemaah Menteri akan diumumkan secepat mungkin, kata Anwar

Jemaah Menteri akan diumumkan secepat mungkin, kata Anwar

Perdana menteri berkata, pembentukan Jemaah Menteri pimpinannya memerlukan perbincangan pelbagai pihak memandangkan ia melibatkan banyak parti.

Anwar Ibrahim ketika ditemui media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR hari ini.
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri baharu kerajaan perpaduan akan diumumkan secepat mungkin selepas mendengar pandangan daripada semua pihak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pembentukan Jemaah Menteri kerajaan pimpinannya kali ini memerlukan perbincangan pelbagai pihak memandangkan ia melibatkan banyak parti.

“Kabinet akan diumum sesegera mungkin, sebab seperti mana saya sebut, (pembentukan kabinet) tidak seperti biasa.

“Kerajaan perpaduan ini melibatkan banyak parti, jadi sebelum membuat keputusan saya mesti dengar semua pandangan,” katanya kepada media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, proses rundingan itu juga mengambil masa memandangkan Jemaah Menteri yang akan dibentuk kali ini lebih kecil berbanding pentadbiran lepas.

“Kalau dulu dia masuk sahajalah, 50 (menteri) okey, 60 okey, 70 okey, tak cukup pagi, ada jawatan duta khas, penasihat khas, jadi saya tak sanggup buat begitu,” katanya.

Mengulas desakan pelbagai pihak supaya mereka yang terlibat dengan kes mahkamah termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak disenarai dalam Jemah Menteri kerajaan perpaduan, Anwar berkata beliau akan mendengar pandangan semua pihak.

Beliau bagaimanapun menjelaskan seseorang individu hanya didapati bersalah setelah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

“Pandangan semua kita ambil kira dalam perbincangan, terapi seperti mana kita tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman (didapati bersalah), yang lain-lain itu akan diberi pertimbangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan sebagai perdana menteri, Anwar berkata ia akan tetap dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, 19 Dis ini.

Katanya, ia penting bagi membuktikan keabsahan dari segi persepsi politik selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ya benar Ramkarpal (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) menggunakan isu berdasarkan penafsiran Perlembagaan Persekutuan sebab majoriti jelas.

“Tetapi saya juga berbincang tadi kita punya pandangan bukan sahaja keperluan dalam perlembagaan tapi saya fikir keabsahan dari segi persepsi politik juga penting,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Ramkarpal yang sebelum ini dipetik berkata, tiada keperluan bagi mengemukakan usul undi percaya memandangkan perdana menteri memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.