
Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Noor menolak permohonan Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Rizal, 53, atas alasan tuduhan dihadapi mereka adalah kesalahan tidak boleh dijamin, menurut laporan Bernama.
Roslan berkata Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) menyatakan kesalahan yang membawa hukuman gantung atau penjara minimum lima tahun ke atas tidak boleh dijamin, selain ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, peguam bela Muhammad Shafee Abdullah berhujah Seksyen 41B akta itu menceroboh kuasa dan budi bicara badan kehakiman dengan mengambil kuasa kehakiman untuk memberi atau menolak jaminan kepada tertuduh.
“…dalam menilai sama ada akan memberikan jaminan, mahkamah akan menggunakan budi bicara secara bijaksana dengan mengambil kira pertimbangan yang relevan, antara lain, sifat dan keseriusan kesalahan, beratnya hukuman jika sabit kesalahan dan risiko tertuduh melarikan diri,” katanya.
Muhammad Shafee juga berhujah bahawa walaupun tidak mudah bagi mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan berkaitan dadah berbahaya, namun terpulang kepada mahkamah untuk mendengar permohonan jaminan bagi menentukannya, dengan mengambil kira fakta dan keadaan kes itu, dalam melaksanakan kuasa budi bicara mahkamah.
Selain itu, katanya, pemohon memberikan aku janji untuk menghadiri semua prosiding mahkamah dan memahami bahawa jaminan itu boleh dibatalkan sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah.
Pada prosiding itu, Pendakwa Raya selaku responden diwakili Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Ain-Nur ‘Amiyerra Awod Abdullah.
Zainal Abidin dan Mohamed Rizal mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar 989.6g kanabis di sebuah rumah di Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik di Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Dua beranak itu juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan iaitu menanam 102 pokok ganja dan menyimpan minyak ganja seberat 58mm, di tempat dan pada masa yang sama.
Bagi kesalahan menanam ganja, mereka dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952, dan menghadapi hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memiliki minyak ganja pula dibuat di bawah Seksyen 9 (1)(b) akta itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (2) yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.