Kes denggi meningkat 150%, kata Noor Hisham

Kes denggi meningkat 150%, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan berkata jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan pada 2022 pula menunjukkan peningkatan 180% berbanding tempoh sama pada 2021.

Tindakan pencegahan diperlukan, dan semburan racun serangga tidak akan menyelesaikan masalah jika tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dihapuskan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 150.7% atau 39,737 kepada 66,102 kes berbanding 26,365 pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan pada 2022 pula ialah 56 berbanding 20 bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan 36 kematian atau 180%.

“Peningkatan kes dan kematian akibat denggi ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Membanteras denggi adalah tanggungjawab semua,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata tindakan pencegahan amat diperlukan bagi memastikan kejadian demam denggi dapat diatasi dan semburan racun serangga tidak akan menyelesaikan masalah jika tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dihapuskan.

Menurutnya, faktor yang menyebabkan peningkatan kes ialah pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya setelah pandemik Covid-19 menjadikan lebih mudah menyebarkan virus denggi ke tempat lain. Katanya pesakit denggi tidak bergejala yang melawat ke tempat baharu boleh menyebarkan virus itu apabila digigit nyamuk Aedes.

Beliau berkata faktor lain ialah apabila berlaku perubahan serotaip denggi kepada DEN 4 di kebanyakan negeri menyebabkan peningkatan kes dan kematian serta tabiat segelintir masyarakat yang tidak membuang sampah di tempat pelupusan disediakan turut menyumbang kepada tempat pembiakan Aedes.

“Faktor cuaca, suhu serta bencana banjir yang dialami dapat mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi Aedes meningkat seterusnya menyebarkan virus denggi,” katanya.

Bagi menurunkan kejadian kes dan wabak denggi, Noor Hisham menyarankan negeri yang dilanda banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak melaksanakan aktiviti pembersihan longgokan sampah serta sisa seminggu selepas air surut untuk mengelaknya menjadi tempat pembiakan Aedes.

Katanya pihak berkuasa tempatan juga hendaklah memastikan urusan pelupusan sampah berjalan sempurna dan teratur manakala masyarakat diingatkan menjalankan aktiviti “cari dan musnah” tempat pembiakan Aedes di kawasan persekitaran kediaman masing-masing setiap minggu.

Noor Hisham turut mencadangkan penggunaan bahan pembunuh jentik-jentik di kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes seperti pam tandas, kolam hiasan dan kolah air manakala bekas penyimpanan air hendaklah ditutup rapat agar nyamuk tidak dapat bertelur.

“Pastikan tiada air bertakung di penutup bekas penyimpanan air, alas penapis air, palong air hujan, alas pasu dan sebagainya,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.