
Sumber rapat dengan perkara itu berkata rampasan kuasa yang gagal semalam kini muncul semula.
Menurut spekulasi rancangan menjatuhkan Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa didalangi Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal.
“Perancangan itu gagal kerana ramai dalam Umno Sabah tidak bersetuju untuk Shafie menjadi ketua menteri,” kata sumber itu.
“Kini, difahamkan Shafie akan memberi laluan kepada Bung menjadi ketua menteri. Ini memberi perkembangan baharu kepada rancangan itu.”
Sumber itu memberi amaran pelantikan Bung sebagai ketua menteri akan membawa “bencana” kepada Sabah dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Bung masih menghadapi perbicaraan rasuah dan walaupun belum selesai, ia masih akan memberi kesan buruk kepada pentadbiran negeri.
“Ia juga akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara dan Sabah khususnya.”
Bung yang juga timbalan ketua menteri Sabah didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan ketika beliau menjadi pengerusi Felcra.
Beliau didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi membuat pelaburan unit amanah Public Mutual berjumlah RM150 juta pada Jun 2015.
Sumber itu berkata, Anwar dan kerajaan perpaduannya juga akan menghadapi kritikan jika Bung dilantik sebagai ketua menteri.
“Ramai penyokong Pakatan Harapan tidak menyukai Bung kerana tingkah laku dan kenyataan kontroversinya di Parlimen.
“Ia juga akan menjejaskan kredibiliti Anwar dan Pakatan Harapan secara keseluruhan kerana Umno adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.
“Anwar akan dilihat sebagai perdana menteri yang lemah yang tidak dapat membuat orang yang menyokongnya bekerjasama dan memastikan kestabilan politik.”
Sumber itu juga berkata, Warisan yang hilang kredibiliti di negeri ini juga akan berdepan situasi tidak dihormati penyokongnya jika bekerjasama dengan Bung.
“Retoriknya untuk memerangi rasuah hanya menjadi cakap-cakap sahaja.”
Kerajaan negeri Hajiji dibentuk ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mana beliau adalah pengerusi, dan Barisan Nasional, sebahagian besarnya terdiri Umno Sabah diketuai Bung.
Gabungan itu mendapat sokongan 53 ADUN. GRS mempunyai 29 kerusi dan BN (Umno) 17. Kerajaan negeri turut mendapat sokongan Pakatan Harapan Sabah (7) dan beberapa parti kecil, manakala Warisan (19) sebagai pembangkang.