Siasatan SPRM akan membuktikan dakwaan penyelewengan dilakukan saya palsu, kata Muhyiddin

Siasatan SPRM akan membuktikan dakwaan penyelewengan dilakukan saya palsu, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu menafikan dakwaan terdapat RM4.5 bilion didepositkan ke dalam akaun parti itu yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion.

Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau menerima sogokan daripada projek yang dianugerahkan semasa beliau menerajui kerajaan.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin yakin siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion oleh kerajaannya dan Bersatu akan mendapati ia adalah palsu dan tanpa merit.

“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya adalah palsu.

“Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya,” katanya dalam kenyataan.

“Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan,” tambahnya lagi.

Muhyiddin menjawab dakwaan yang mengaitkan Bersatu dengan kes penahanan SPRM terhadap seorang CEO sebuah syarikat swasta minggu lepas selepas lelaki itu didakwa berkhidmat sebagai orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan.

Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata penahanan itu dikaitkan dengan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber itu berkata, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen antara 3% dan 5% yang akan dimasukkan ke dalam akaun parti politik dan kononnya dimaksudkan sebagai pembiayaan politik.

Sebagai respon balas, Muhyiddin menolak dakwaan bahawa beliau mengarahkan individu tertentu untuk mengutip komisen, yang akan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Beliau juga berkata perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukanlah dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan kerana kebanyakannya adalah pemindahan tunai terus kepada orang ramai.

“Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan.

“Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, adalah tidak benar Bersatu mempunyai bajet yang besar untuk dibelanjakan pada pilihan raya umum ke-15 hasil sumbangan politik sedemikian.

Muhyiddin menegaskan Bersatu dibiayai melalui sumbangan penyokongnya.

Beliau menegaskan bahawa akaun Bersatu adalah telus dan semua perbelanjaan direkodkan, diaudit dan dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunannya selaras dengan keperluan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Muhyiddin berkata sumbangan kepada dana pemilihan parti juga dimasukkan ke dalam akaun parti, walaupun Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang pembiayaan politik, beliau yakin setiap derma yang diterima Bersatu tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan sedia ada.

Beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan terhadap Bersatu direka supaya tindakan undang-undang diambil terhadap parti itu dan melemahkannya menjelang enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.