
Amirudin berkata, jika diteliti keputusan PRU15 yang lalu, di setiap saluran mengundi, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu akan memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak.
“Dua lawan satu lebih baik berbanding satu lawan satu lawan satu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kontinjen Selangor sempena Kejohanan Paralimpik Sukma 2022.
Semalam Amirudin yang juga menteri besar Selangor, berkata formula kemenangan dalam PRN akan datang lebih penting berbanding isu mengekalkan logo parti politik.
Tambahnya, perbincangan lebih terperinci akan dibuat terutamanya membabitkan kerjasama di antara PH dengan BN.
“Saya harap hujung bulan ni kita dapat konklusi mengenai kerjasama itu” katanya sambil menambah mood di peringkat persekutuan ketika ini adalah kerajaan perpaduan.
Justeru, beliau percaya jika perkara yang sama tidak berlaku di peringkat negeri maka ianya tidak memberikan contoh dan tauladan yang baik kepada masyarakat.
“Ini kepentingan negara untuk menjamin kestabilan di semua tempat,” katanya yang juga naib presiden PKR.
Keputusan PRU15 baru-baru ini menyaksikan tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kerajaan perpaduan dibentuk selepas penubuhan kerajaan bersama antara PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa part lain.
Hal ini menyaksikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri dengan Jemaah Menteri dibentuk merangkumi Ahli Parlimen dan pemimpin daripada semua parti tersebut.