Sokong Bung ‘penghinaan’ kepada Sabah dan Anwar, Zahid diberitahu

Sokong Bung ‘penghinaan’ kepada Sabah dan Anwar, Zahid diberitahu

Seorang pemimpin GRS berkata Ahmad Zahid Hamidi bersuara kerana terdesak susulan kemungkinan kedudukannya sebagai presiden Umno tercabar.

Ahmad Zahid Hamidi mungkin terlalu menumpukan kepada survivalnya dalam Umno sehingga sanggup menyokong Bung Moktar Radin walaupun menanggung risiko, kata seorang pemimpin GRS. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun gagal menggulingkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, sokongan Ahmad Zahid Hamidi kepada Bung Moktar Radin menunjukkan presiden Umno itu “terdesak”, kata seorang pemimpin negeri Borneo itu.

“Pengaruh Umno semakin berkurang di Sabah, dan ini membimbangkan Zahid. Pada masa sama beliau berdepan tekanan dalam Umno,” kata seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang enggan namanya disiarkan.

“Beliau terdesak. Beliau tahu ada pihak yang ingin mencabar jawatan presiden. Beliau sedar tidak mampu mengekang tekanan membenarkan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno.”

Pemimpin GRS itu berkata, hakikatnya Hajiji menikmati sokongan majoriti ADUN dan mendapat restu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai ketua menteri.

Minggu lalu, Bung yang juga ketua Umno Sabah mengumumkan penarikan sokongan partinya terhadap kerajaan diterajui Hajiji.

Bagaimanapun, lima ADUN Umno berikrar memberi sokongan kepada Hajiji, menyaksikan cubaan menyingkirkan ADUN Sulaman itu oleh Bung, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) gagal.

“Anda perlu menghormati keputusan rakyat Sabah. Anda juga perlu hormat dokongan perdana menteri kepada Hajiji.

“Jadi, dengan mempertahankan Bung, anda menghina rakyat Sabah dan Anwar,” kata pemimpin GRS itu kepada FMT, merujuk kepada Zahid.

Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, beliau yakin Zahid mungkin terlalu menumpukan survivalnya dalam Umno sehingga sanggup menyokong Bung walaupun berdepan risiko politik.

Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata sokongan Zahid kepada Bung hanya akan memberi galakan kepada bekas timbalan ketua menteri berterusan mencari jalan menumbangkan Hajiji.

“Ia hanya melanjutkan isu yang mana sudah selesai. Saya yakin langkah membela Bung dibuat bagi mendapatkan sokongan Umno Sabah sekiranya beliau dicabar bagi jawatan presiden Umno.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.