4 lagi ladang babi di P Pinang dijangkiti ASF

4 lagi ladang babi di P Pinang dijangkiti ASF

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia membabitkan dua ladang di Seberang Perai Tengah manakala dua lagi Seberang Perai Selatan.

Wabak demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) diisytiharkan sebagai ‘bencana’ di Pulau Pinang pada Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat lagi ladang ternak babi di Pulau Pinang disahkan dijangkiti penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) sekali gus menjadikan keseluruhan 11 ladang komersial dilanda wabak tersebut.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan berkata, ia membabitkan dua ladang baharu di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) manakala dua lagi Seberang Perai Selatan (SPS).

Katanya, sebelum ini Pulau Pinang telah mengisytiharkan ASF sebagai “bencana”setelah wabak itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

“Sebelum ini, tujuh ladang telah dijangkiti wabak itu, iaitu dua di SPT dan lima di kawasan Perkampungan Valdor, SPS namun jumlah itu meningkat selepas empat lagi ladang disahkan positif wabak berkenaan.

”Ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang dan teruskan melakukan kerja-kerja persampelan di ladang ternak babi (lain).

“Setakat ini, 4,000 ekor babi di tiga buah ladang (dijangkiti ASF) telah selesai dilupuskan, dan pelupusan akan diteruskan ke ladang yang lain selepas ini,” katanya menurut Bernama.

Jumaat lalu, tujuh lagi ladang ternak babi komersial membabitkan 25,000 ekor haiwan di SPT dan SPS telah disahkan dijangkiti ASF.

Semua babi di ladang itu dimusnahkan secara berperingkat menggunakan kaedah gas CO2 (Kepekatan Tinggi) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pembuangan Haiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis selaku pegawai tindak balas bencana membantu JPV dengan menjalankan satu sekatan jalan raya (SJR) di SPT dan tiga di SPS membabitkan kawasan ladang ternak babi di landa wabak ASF.

“Satu SJR di kawasan Bukit Teh, SPT manakala tiga lagi di Perkampungan Valdor, SPS bagi mengawal pergerakan masuk dan keluar babi hidup atau bangkai babi di kawasan disahkan positif wabak tersebut supaya tidak berlaku penularan di kawasan lain,” katanya.

Berdasarkan data bancian JPV negeri, terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.