Jawatankuasa PBM N Sembilan letak jawatan, bubar semua bahagian

Jawatankuasa PBM N Sembilan letak jawatan, bubar semua bahagian

Pengerusinya Rosman Jonet berkata, pembubaran itu turut melibatkan sayap pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu.

Pengerusi PBM Negeri Sembilan, Rosman Jonet keputusan itu diambil kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Larry Sng.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran dan perletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa negeri, Bahagian, sayap pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Larry Sng.

Pengerusinya Rosman Jonet dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri di Laman Permai Juasseh, Kuala Pilah pada 20 Jan lepas.

Katanya, pembubaran itu melibatkan Jawatankuasa Bahagian Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah.

“Secara konsensus dan permuafakatan, barisan kepimpinan bersetuju meletakkan jawatan serta membubarkan keseluruhan ahli jawatankuasa negeri dan bahagian PBM berkuat kuasa serta-merta.

“Pembubaran itu dibuat kerana hilang kepercayaan dan keyakinan kepada presiden,” katanya.

Tambahnya, tindakan Sng memecat pengasas PBM Zuraida Kamaruddin dan memungkiri janji berkaitan peralihan kepimpinan menyebabkan imej PBM rosak serta parti itu tidak mempunyai hala tuju lagi.

Pada 14 Jan lalu, PBM Pahang turut mengumumkan pembubaran jawatankuasa dan lapan bahagian negeri itu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pembubaran itu dibuat berikutan rasa kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Sng yang memungkiri janji untuk memberi laluan kepada Zuraida untuk memimpin parti tersebut.

Lapan bahagian yang dibubarkan ialah Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Temerloh, Bentong, Bera, dan Rompin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.