Dakwa tiada lagi demokrasi dalam Umno, exco Pemuda letak jawatan

Dakwa tiada lagi demokrasi dalam Umno, exco Pemuda letak jawatan

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin meletakkan jawatan kerana kecewa dengan perkembangan terbaharu dalam Umno terutama melibatkan keputusan MKT, malam tadi.

Exco Pemuda Umno Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, melepaskan jawatan disandangnya baik di peringkat pusat dan bahagian Lembah Pantai, berkuat kuasa serta merta. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Exco Pemuda Umno Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin melepaskan jawatan serta merta di peringkat pusat dan bahagian Lembah Pantai kerana kecewa dengan perkembangan terbaharu dalam Umno yang didakwa ‘tidak lagi mengamalkan demokrasi’.

Beliau berkata, surat rasmi peletakan jawatan akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat Umno Malaysia yang bersama saya dalam perjuangan sejak 2018 hingga kini. Kita tetap bersahabat selamanya dan menjaga ukhwah sesama kita. Selamat maju jaya buat semua sahabat,” katanya menurut Berita Harian.

Menurut laporan itu, Muqharabbin dipercayai meletakkan jawatan susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi, yang memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, yang juga ahli MKT.

Umno juga menggantung keahlian bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian; Ketua Umno Jempol, Salim Sharif dan Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang, selama enam tahun.

Selain itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohamad, digugurkan sebagai ketua Umno Johor dan digantikan dengan Khaled Nordin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.