Kerajaan salur terus dana baik pulih balai polis usang di Sarawak, kata Fadillah

Kerajaan salur terus dana baik pulih balai polis usang di Sarawak, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata dana pembaikan itu akan disalurkan terus kepada IPK Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, balai polis yang dikenal pasti dalam keadaan usang melibatkan Balai Polis Matu Daro, Julau dan Song. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan persekutuan bersetuju memberikan peruntukan kepada IPK Sarawak bagi menambah baik fasiliti balai polis di negeri itu melalui dana timbalan perdana menteri.

Tanpa menyatakan jumlah keseluruhan peruntukan itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata sebagai contoh, sembilan balai polis dan kuarters di sekitar Kuching memerlukan peruntukan kira-kira berjumlah RM500,000.

“Kita berharap dengan peruntukan di bawah timbalan perdana menteri ini kita dapat menambah baik keadaan di IPK dan balai polis di negeri ini secepat mungkin dan saya akan salurkan secara terus kepada pihak polis.

“Saya diberi amanat oleh perdana menteri (Anwar Ibrahim) untuk melihat kepada infrastruktur Sabah dan Sarawak jadi saya membuat lawatan ke IPK ini untuk mendapatkan taklimat apa yang perlu kita laksanakan untuk menambah baik kemudahan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi ke IPK Sarawak.

Terdahulu, Fadillah menerima taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri yang berlangsung kira-kira satu jam.

Beliau memaklumkan dapatan daripada taklimat berkenaan akan dikongsikan di peringkat persekutuan melibatkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan perancangan terperinci dalam membangunkan kemudahan kepada anggota polis di Sabah dan Sarawak.

Fadillah berkata, beberapa balai polis turut dikenal pasti dalam keadaan usang serta memerlukan peruntukan kerajaan persekutuan ialah Balai Polis Matu Daro, Julau dan Song.

“Ini menjadi tanggungjawab kita (kerajaan) untuk menyediakan kemudahan asas, janganlah sehingga tiada kemudahan yang menyebabkan kita tidak berlaku adil kepada anggota polis. Inilah hasrat perdana menteri yang mahukan keadilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.