‘Pembersihan’ Umno hanya hasilkan lebih banyak ‘kotoran’, kata Annuar

‘Pembersihan’ Umno hanya hasilkan lebih banyak ‘kotoran’, kata Annuar

Beliau berkata rakyat telah memberi isyarat menolak Umno pada PRU lepas, namun parti itu masih bersikap dalam penafian.

Semalam, Khairy Jamaluddin dan Noh Omar dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata “pembersihan total” yang dilakukan Umno hanya akan menghasilkan lebih banyak “kotoran” kerana punca sebenarnya masih berpaut di dalam parti itu.

Beliau yang dipecat keahlian dari Umno pada 8 Dis lalu berkata rakyat telah memberi isyarat menolak Umno pada PRU lepas, namun parti itu masih bersikap dalam penafian.

“Mereka lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi dan semua orang lain, kecuali diri mereka sendiri.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yg mereka reka sendiri. Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka,” katanya di Facebook.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan keahlian bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas pengerusi BN Selangor, Noh Omar dipecat.

Katanya, mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.

Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

Sementara itu, bekas ketua Umno Arau Shahidan Kassim yang kini menyertai Perikatan Nasional (PN) menggelar Umno sebagai parti yang “tidak siuman” dan sedang ghairah memecat ahlinya.

“Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” kata Shahidan ringkas.

Turut memberi respons terhadap pergolakan itu, Timbalan Presiden Bersatu Faizal Azumu yang menyatakan, “Wahai saudara, sayap anda tidak lagi terikat. Kini anda boleh terbang lebih tinggi. Semoga Allah berkati perjuangan suci.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.