Mangsa banjir Sabah, Johor menurun

Mangsa banjir Sabah, Johor menurun

Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun kepada 1,723 orang manakala di Johor pula seramai 2,216 orang.

Jumlah mangsa banjir bagaimanapun kekal di Pahang dengan 314 orang daripada 96 keluarga di Rompin yang ditempatkan di tiga PPS, kata JPBN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bilangan mangsa banjir di Sabah dan Johor mencatatkan penurunan manakala di Pahang kekal dengan 314 mangsa setakat malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, mangsa banjir yang direkodkan adalah seramai 1,723 mangsa daripada 673 keluarga, yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding jumlah sebelum itu dengan 2,639 mangsa daripada 927 keluarga di 19 PPS.

“Seramai 1,348 orang daripada 565 keluarga yang ditempatkan di empat PPS di Pitas, diikuti Paitan 333 mangsa daripada 97 keluarga dan Lahad Datu kekal 42 mangsa daripada 10 keluarga.

“Dua PPS masing-masing satu di Pitas iaitu Sekolah Kebangsaan Bangkau-Bangkau dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa,” kata kenyataan itu.

Di Johor pula, seramai 2,216 orang mangsa direkodkan setakat 8 malam berbanding 2,464 orang sebelum itu.

Bagaimanapun, JPBN memaklumkan, terdapat pertambahan satu PPS di Batu Pahat, menjadikan 30 PPS yang aktif setakat ini.

Tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Mersing masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 802 mangsa, diikuti Batu Pahat (431), Kluang (424), Kota Tinggi (416), Segamat (123) dan Tangkak (15).

Manakala jumlah mangsa banjir kekal di Pahang dengan 314 orang daripada 96 keluarga di Rompin dan mereka ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.