Laksana segera pembaharuan untuk tangani rasuah, C4 beritahu PM

Laksana segera pembaharuan untuk tangani rasuah, C4 beritahu PM

Kumpulan antirasuah itu berkata, kemerosotan itu berpunca daripada kurangnya azam politik dalam kalangan Ahli Parlimen.

C4 berkata, kemerosotan indeks rasuah secara berterusan akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur asing.
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya “cakap serupa bikin” dalam memerangi rasuah dengan melakukan pembaharuan yang lama tertangguh.

Gesaan itu menyusul Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk 2022 yang menyaksikan skor Malaysia hanya 47, jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu.

Malaysia mendapat 53 mata pada 2019, tetapi turun kepada 51 pada 2020 dan 48 pada 2021.

C4 mendakwa skor negara terus merosot disebabkan kurangnya azam politik dalam kalangan Ahli Parlimen untuk menangani rasuah secara strategik dan berkesan.

“Persepsi yang terus merosot akan memberi kesan negatif dari segi keyakinan pelabur asing, ketika negara memerlukan semua sokongan untuk memulihkan ekonomi yang bermasalah.

“Minggu lalu, Anwar mengisytiharkan rasuah adalah ancaman utama terhadap negara. Kini, apa yang lebih penting ialah beliau bertindak berdasarkan kata-katanya dengan melaksanakan pembaharuan yang lama tertangguh,” kata C4 dalam kenyataan.

Kumpulan antirasuah itu juga menggesa kerajaan meneliti sebarang usaha pembaharuan kritikal dan tertangguh, khasnya perkara yang digariskan dalam Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Ini termasuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mewajibkan pengisytiharan aset dan menggubal undang-undang pembiayaan politik.

NACP diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 sebagai dasar komprehensif untuk menamatkan rasuah dan menggariskan enam bidang keutamaan yang terdedah kepada rasuah – tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, tadbir urus korporat, sektor perundangan dan kehakiman serta penguatkuasa undang-undang.

C4 berkata, rasuah mengancam untuk melemahkan institusi negara dengan mengutamakan kepentingan peribadi sesetengah individu dan perlu dihapuskan sebelum tadbir urus negara semakin buruk sehingga “tidak dapat dibaiki lagi”.

“Perang menentang rasuah tidak boleh dipandang ringan lagi. Kerajaan dinasihat melaksanakan pembaharuan dengan lebih yakin dan mengadakan libat urus dengan masyarakat sivil bagi menguatkan keyakinan orang ramai terhadap komitmen kerajaan dalam perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.