Polis tahan 7 lelaki, rampas syabu RM1.5 juta dalam bungkusan teh Cina

Polis tahan 7 lelaki, rampas syabu RM1.5 juta dalam bungkusan teh Cina

Syabu seberat 41.81kg itu dirampas dalam serbuan di Pokok Sena dan Bertam hujung minggu lalu.

Polis Pulau Pinang merampas syabu seberat 41.81kg dibungkus dalam bungkusan teh Cina dipercayai untuk kegunaan lebih 200,000 penagih dalam serbuan hujung minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan tujuh lelaki, termasuk lima sekeluarga, dan merampas 41.81kg syabu dibungkus menggunakan bungkusan teh Cina bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di Pokok Sena serta Bertam di Kepala Batas pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang yang bertindak hasil maklumat dan risikan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pokok Sena pada 8.45 malam Sabtu, polis menahan lima lelaki berusia 26 hingga 54 tahun dan (menerusi) pemeriksaan lanjut, polis merampas 11 bungkusan plastik teh Cina dan dua bungkusan lutsinar mengandungi 11,448.70g syabu bernilai RM412,112.

“Siasatan mendapati lima lelaki itu mempunyai pertalian keluarga, iaitu adik-beradik, anak saudara dan bapa saudara,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus semula syabu berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, didapati rumah milik seorang daripada lima lelaki tersebut dijadikan tempat menyimpan stok syabu dan membungkus semula dadah berkenaan sebelum dijual kepada pembeli.

Susulan itu, katanya, polis menyerbu sebuah kiosk di Bertam pada 8 pagi Ahad dan menahan dua lelaki berusia 41 dan 47 tahun.

Polis turut merampas 30 bungkusan teh cina mengandungi serbuk dan ketulan syabu seberat 30.358kg bernilai RM1.09 juta yang diletakkan di dalam sebuah Perodua Myvi.

Shuhaily berkata, dua lelaki yang ditahan, masing-masing seorang peniaga dan penganggur, dipercayai sedang berada di situ bagi urusan jual beli syabu.

Sindiket ini disyaki aktif menjalankan kegiatan itu sejak Jun lepas, tambahnya.

Beliau berkata, mereka mendapatkan bekalan syabu daripada rangkaian mereka di luar negara sebelum diseludup masuk ke negeri ini dan dijual di pasaran tempatan. Bekalan syabu itu boleh digunakan 210,000 penagih, tambahnya.

Susulan penahanan tujuh lelaki itu, polis menyita empat kenderaan, termasuk Toyota Alphard dan Vios serta Ford Ranger, yang kesemuanya bernilai RM470,000 serta wang tunai RM1,000.

“Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah selain lima daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” kata Shuhaily.

Semuanya direman hingga 3 Feb ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.