Sanusi cadang polis tembak pengedar dadah

Sanusi cadang polis tembak pengedar dadah

Menteri besar Kedah maklum Langkawi menjadi pusat transit dadah.

sanusi nor
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sedar cadangan menembak pengedar mungkin agak kontroversi tetapi menegaskan dadah adalah ‘masalah berat’.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menyokong langkah ekstrem termasuk polis menembak pengedar dadah, mengambil kira masalah itu mengakibatkan kerosakan teruk terutama di Langkawi.

Sanusi berkata, dadah masih menjadi isu besar dan musuh nombor satu negara sehingga menyebabkan ramai anak muda dan keluarga porak- peranda akibat ketagihan bahan itu.

“Polis sudah tahu dan tangkap, kalau tak boleh tangkap, boleh tembak kalau jadi ancaman…kalau melarikan diri,” katanya menurut Harian Metro, di Alor Setar.

Katanya, beliau sedar cadangan menembak pengedar dadah mungkin agak kontroversi.

“Jangan lindungi sesiapa, tangkap semua pengedar dadah, kalau tak boleh tangkap, tembak. Biar jadi kontroversi sebab berat sangat masalah dadah. Kerajaan negeri bermesyuarat bersama AADK, Pemadam sampai tak tahu hendak buat apa lagi.

“Dadah tak boleh dipandang ringan, ambil tindakan paling ekstrem sekali kepada pengedar dadah. Apa sahaja polis boleh buat, ambil tindakan jangan lindungi sesiapa,” katanya.

Mengulas lanjut,  Sanusi berkata mendapat maklumat sindiket menjadikan Langkawi sebagai pusat transit, selain mengambil maklum ada banyak tangkapan dilakukan polis, namun isu dadah kekal berterusan.

Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan rangkaian sindiket pengedaran dadah di Langkawi dipercayai didalangi anggota polis.

Terdahulu, media melaporkan selepas kematian ‘Pablo Escobar Langkawi’ yang dikenali Mat Nahar, enam tahun lalu, kini muncul satu rangkaian pengedaran dadah didakwa didalangi seorang anggota polis dikenalı ‘Mr A’ di sekitar pulau pelancongan itu.

Menurut laporan, beberapa individu yang pernah menganggotai sindiket Mat Nahar kini dipercayai bekerja dengan rangkaian baharu itu susulan kematian ketua mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.