
“Itu (dakwaan) masih lagi dalam siasatan, saya perlu pastikan siapakah yang terlibat, individu yang berkaitan atau pun kumpulan-kumpulan yang berkaitan. Jadi, kita tak dapat komen buat sementara.
“Sudah pasti kita tidak akan berkompromi (jika ada anggota polis terlibat aktiviti jenayah). Tahun ini saja, kita sudah buat banyak rampasan besar-besar bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dialog Khas Polis di sini.
Ditanya sama ada siasatan turut membabitkan tindakan dalaman di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
“Sekiranya dia berkaitan dengan undang-undang keselamatan dan sebagainya, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.”
Terdahulu, media melaporkan selepas kematian Pablo Escobar Langkawi yang dikenali Mat Nahar, enam tahun lalu, kini muncul satu rangkaian pengedaran dadah didakwa didalangi seorang anggota polis dikenalı ‘Mr A’ di sekitar Langkawi.
Menurut laporan itu, beberapa individu yang pernah menganggotai sindiket Mat Nahar kini dipercayai bekerja dengan rangkaian baharu itu susulan kematian ketua mereka.
Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, polis perlu beralih kepada paradigma kepolisan moden berteraskan integrasi teknologi dan perkongsian maklumat secara holistik bagi mendepani ancaman keselamatan semasa yang semakin kompleks serta rentas sempadan.
Katanya, ancaman keselamatan kini tidak lagi hanya tertumpu kepada jenayah konvensional.
Pada majlis sama, polis dan Universiti Sains Malaysia memperbaharui memorandum perjanjian dalam bidang sains forensik.
Sebanyak 31 sesi membabitkan forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan sepanjang acara dua hari itu bagi mengetengahkan penyelesaian terhadap isu keselamatan maritim, narkotik serta inovasi penguatkuasaan.
Ia turut menghimpunkan lebih 3,000 peserta, termasuk 200 delegasi kenamaan dan 135 syarikat tempatan serta antarabangsa.