Polis tahan lelaki, rampas dadah RM6 juta

Polis tahan lelaki, rampas dadah RM6 juta

Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Serdang AA Anbalagan menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan, berkata dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123kg, syabu (0.5kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301g), pil ekstasi (21g) dan ganja (13.8g) serta tiga mesin memproses dadah.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di IPD Serdang.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Anbalagan berkata, suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi “runner”.

Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

“Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.