
Rama Ramanathan daripada Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksa (CAGED) berkata, maklumat sebegitu akan membantu orang ramai faham mana antara perbuatan mereka yang mungkin menghalang tugas anggota polis.
Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng agar Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan bagaimana merakam serbuan polis boleh menjadi kesalahan yang boleh dihukum.
Lim menyuarakan perkara itu selepas empat orang ditahan kerana merakam serbuan polis menggunakan telefon pintar di sebuah kedai muzik di Pulau Pinang Sabtu lepas.
“Memandangkan kurangnya keyakinan orang awam terhadap polis, kita harus menggalakkan orang ramai merakam tindakan mereka dengan satu syarat, mereka tidak boleh menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut undang-undang,” kata Rama kepada FMT.
Tambahnya, sebarang gangguan atau penahanan terhadap mereka yang merakam operasi polis akan memburukkan imej polis yang bagus.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, terpulang pada mahkamah untuk memutuskan sama ada orang awam boleh merakam tindakan anggota polis menangkap dan melakukan serbuan.
Katanya, dakwaan polis bahawa tindakan sedemikian boleh mengganggu pelaksanaan tugas mereka telah menyebabkan Jabatan Peguam Negara mendakwa beberapa orang di mahkamah.
Sebagai contoh, beliau memetik kes mahkamah pada 2020 melibatkan bekas aktivis pelajar Wong Yan Ke, yang diheret ke mahkamah kerana merakam serbuan polis di rumahnya awal tahun itu.
“Mahkamah perlu memutuskan sama ada orang awam mempunyai hak untuk merakam (tindakan polis tersebut),” katanya.
Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memastikan orang awam tidak ditangkap hanya kerana mengambil gambar atau merakam polis yang sedang menjalankan tugas.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut patut berbuat perkara sama, kerana penahanan sedemikian menjejaskan kebebasan bersuara orang ramai.
Santiago berkata, satu sebab mengapa orang awam merakam polis mungkin kurangnya kepercayaan terhadap pegawai penguatkuasa undang-undang.
Kecurigaan orang awam terhadap pasukan polis berpunca daripada persepsi bahawa polis menganggap mereka mengatasi undang-undang. Akibatnya, gambar dan video yang dirakam digunakan sebagai keterangan di mahkamah.
“Jika polis mengikut peraturan, maka (mereka tidak) perlu risau,” katanya.
“Hanya apabila mereka melanggar undang-undang dengan memukul seseorang atau merobohkan pintu atau secara salah menegur atau mengeluarkan kompaun terhadap seseorang, itu jadi masalah.
Tahun lepas, menteri dalam negeri ketika itu, Hamzah Zainudin dalam jawapan Parlimen kepada Lim berkata, tindakan mengambil gambar, merakam dan menstrim pegawai polis yang melakukan serbuan atau tangkapan di tempat awam mungkin merupakan satu jenayah.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil ke atas kelakuan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain.