
Ini kerana, katanya peluang Khairy menjadi menteri besar di negeri Pantai Timur itu lebih cerah berbanding di Selangor atau Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga menteri besar Negeri Sembilan mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang yakin dengan kebolehan dan populariti Khairy akan membolehkan Perikatan Nasional (PN) menguasai Selangor serta Negeri Sembilan.
Katanya, Khairy juga boleh diangkat sebagai menteri besar, sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan jika menyertai Bersatu dan membantu PN merampas dua negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Wan Ahmad Fayhsal (Ahli Parlimen di Kelantan), kalau Khairy bertanding di Kelantan lagi baik, boleh jadi menteri besar Kelantan.
“Jadi, Wan Ahmad Fayhsal cadangkan supaya (KJ) bertanding di Kelantan, di sana ada lebih peluang. Itu kalau betul dia nak jadikan Khairy sebagai menteri besar,” kata Aminuddin menurut Harian Metro.
Aminuddin berkata, demokrasi harus diraikan dengan sebaiknya dan terpulang kepada Khairy untuk bertanding pada PRN.
“Saya dapat tahu Selangor ada membuat tawaran kepada KJ untuk bertanding di negeri itu pada PRN akan datang dan dia pun kata seronok hendak bertanding di Selangor.
“Dia tak cakap hendak bertanding di Negeri Sembilan, walaupun banyak cakap-cakap dia akan bertanding di Negeri Sembilan tapi dia sendiri tak beri maklum balas.
“Terpulanglah pada dia. Ini negeri demokrasi, kita raikan…semua akan cakap dia boleh menang (PRN), itu politik yang saya selalu cakap, kalau tanya saya pun, saya kata boleh menang.”
Selepas dipecat Umno akhir bulan lalu, Khairy dilaporkan berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada PRN Selangor, tetapi bergantung kepada tawaran kepadanya, termasuk jawatan menteri besar.